DARO, 16 Mac: Sumbangan berjumlah RM113,000 disalurkan kepada beberapa masjid dan surau di sini bagi tujuan mengimarahkan rumah ibadat menjelang Ramadan yang tiba pada minggu hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata sebanyak 16 masjid dan 10 buah surau mendapat manfaat daripada sumbangan berkenaan iaitu setiap masjid menerima RM3,000 manakala surau pula RM1,500.
“Sumbangan tersebut akan mengimarahkan rumah ibadah yang menjadi nadi pembangunan masyarakat Islam di sini.”
“Masjid dan surau bukan sekadar tempat untuk beribadah tetapi turut berperanan sebagai platform penyatuan dan perpaduan ummah,” katanya.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) itu demikian ketika menyampaikan sumbangan di Masjid Kampung Betanak di sini, pada Rabu.
Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan di empat masjid di sini iaitu Masjid Kampung Betanak, Masjid Kampung Kut, Dewan Dayang Bai, Bintangor dan Masjid Kampung Kedang, di Paloh.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan peruntukan RM50,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Penuai bagi tujuan pembinaan tandas awam baharu dan membaik pulih dewan masyarakat kampung tersebut.
Beliau turut berkongsi maklumat berhubung status pelbagai projek pembangunan yang sedang atau akan dilaksanakan di sekitar DUN Semop.
“Saya juga ada menerima pelbagai aduan dan permohonan daripada ketua-ketua masyarakat dan JKKK terhadap keperluan dan kemudahan yang perlu diberi perhatian dan tindakan yang sewajarnya,” tegasnya.- TVS