KUALA LUMPUR, 15 Mac: Kerajaan sedang mencari pasaran baharu bagi memasarkan minyak sawit negara berikutan kempen anti sawit yang berterusan di Eropah, Dewan Rakyat dimaklumkan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching berkata, pasaran baharu yang berpotensi untuk diteroka termasuklah negara – negara di Afrika dan Timur Tengah.
“Selain itu pasaran eksport minyak sawit negara ke pasaran sedia ada seperti Asia Tenggara dan Eropah Timur akan dipertingkat dan diperkukuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Penggulungan Belanjawan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Perladangan dan komoditi (KPK) di sini hari ini.
Terdahulu, Mohamad Shafizan Kepli (Gabungan Parti Sarawak – Batang Lupar) ketika perbahasan ingin tahu usaha kementerian untuk menghentikan kempen anti sawit di Eropah.
Sementara itu, Siti Aminah memaklumkan, kementerian telah memohon peruntukan lebih RM20 juta pada tahun ini untuk melaksanakan kempen anti sawit yang dilakukan oleh Kesatuan Eropah.
“Namun jumlah yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada tahun ini hanya RM10 juta dan kami (kementerian) amat berbesar hati sekiranya kementerian dapat menyalurkan peruntukan yang lebih untuk menangani kempen ini,” katanya.
Sementara itu, Siti Aminah berkata, kementerian menyambut baik cadangan menjalankan audit terhadap kos penerbitan dan pengedaran buku Mari Kenali Sawit. -TVS