KOTA SAMARAHAN, 14 Mac: Pusat Pengumpulan Sehenti (OSCC) ditubuhkan sebagai platform pemangkin untuk memperkasakan usahawan mikro daripada golongan B40 di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita,Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata pusat berkenaan menyediakan latihan pengurusan pemasaran, inovasi dan bantuan teknikal berasaskan teknologi dan digital.
“Usaha untuk memperkasakan usahawan mikro tidak hanya dengan memberikan bantuan suntikan modal sahaja sebaliknya ia perlu disertai dengan bimbingan serta latihan dan sistem sokong untuk mengukuhkan peranan mereka dalam bidang keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke OSCC di sini, hari ini.
Fatimah menjelaskan lagi kerajaan Sarawak komited membangunkan sistem sokongan untuk membantu meningkatkan ekonomi golongan B40.
“Kita mahu memastikan pendapatan mereka dapat ditingkatkan agar mereka akan menjadi seorang individu yang  biasa kepada luar biasa.”
“Pada masa sama kita juga mahu pastikan ini menjadi satu tempat tarikan pelancong iaitu produk-produk tempatan juga akan dipamerkan di sini supaya ianya menjadi satu nilai tambah kepada yang hendak membelinya ketika berkunjung di sini,” jelasnya,
Beliau menambah, Operator Pengurusan Projek (PMO) yang mengoperasikan pusat tersebut akan mengenal pasti produk-produk daripada usahawan mikro di seluruh Sarawak untuk diberikan nilai tambah dan kawalan kualiti sesuai dengan pemintaan pasaran semasa.
Mengulas lanjut, Fatimah memberitahu OSCC akan mengutamakan usahawan mikro yang berdaftar di bawah Jabatan kebajikan Masyarakat sebelum ia diperluaskan kepada usahawan mikro yang berdaftar dibawah agensi-agensi lain.
“Kita tahu ia dapat dilaksanakan dan kita memberikan sistem sokongan yang lebih baik dengan pengurus projek yang betul untuk operasi ini agar mereka ini dapat dibantu dan diberikan pendedahan secara profesional.”
“Dengan cara sedemikian mereka boleh menjadi usahawan yang luar biasa seterusnya akan membanggakan kita sekali gus menaikkan nama sarawak,” katanya.
Menurut Fatimah, OSCC yang terletak di kawasan perindustrian ringan di Kota Samarahan dibangunkan dengan kos berjumlah RM7.3 juta telah siap pada Disember tahun lalu.
Bagaimanapun ia dijangka akan dapat beroperasi sepenuhnya pada awal Januari tahun hadapan selepas semua proses berkaitan termasuk membawa masuk peralatan serta penyeliaan projek siap dilakukan. -TVS