KUALA LUMPUR, 14 Mac: Kerajaan menjangkakan tambahan hasil pada tahun ini yang membolehkan pembangunan negara diteruskan serta kebajikan rakyat terbela di sebalik sasaran pengurangan defisit, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, beberapa faktor dijangka menyumbang kepada unjuran penambahan berkenaan termasuk bayaran sebanyak RM1.8 bilion yang akan diterima daripada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada tahun ini.
Pada masa sama ujar Ahli Parlimen Tambun ini, kerajaan juga akan dapat berjimat berikutan tidak melakukan perbelanjaan bagi wang COVID-19.
“Pada tahun lepas, kita belanja RM31 bilion untuk COVID-19 dan tahun ini, kita masih belum berbelanja.
“Untuk itu, bagi hasil 2023 dijangka melebihi (termasuk) dari dana IPIC 1.8 bilion USD ,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata ketika menjawab soalan Dr. Mohammaed Taufiq Johari (Pakatan Harapan – Sungai Petani) yang meminta Perdana Menteri menyatakan bagaimana sasaran pengurangan defisit daripada 5.6 peratus pada 2022 kepada 3.2 peratus 2025 seperti dibentang dapat dicapai tanpa jejaskan kebajikan rakyat dan pembangunan negara.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pada tahun depan, kerajaan juga dijangka dapat berjimat sebanyak RM13.5 bilion kerana tidak perlu membuat pembayaran berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas membuat pembayaran one off pada tahun ini.
“Jadi bagi kerajaan, jumlah ini munasabah,” kata beliau sambil menambah subsidi bersasar juga akan mengurangkan ketirisan dan membantu kerajaan.
Berhubung kebajikan rakyat, Perdana Menteri menjelaskan, sumbangan tunai Rahmah RM1,300 seisi rumah diberikan kerajaan serta tambahan barangan keperluan berjumlah RM600 untuk miskin tegar. -TVS