Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. Foto: TVS

Hidroelektrik di Kalimantan Utara mudahkan realisasi Grid Borneo – Awang Tengah

ByAmirah Shawel

KUCHING, 13 Mac: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata projek pembinaan empangan hidroelektrik di Malinau, Kalimantan Utara apabila siap kelak akan memudahkan pelaksanaan Grid Borneo.

Menurutnya, meskipun empangan itu berada di Indonesia, tetapi ia akan dapat disambung bagi memudahkan rancangan untuk merealisasikan Grid Borneo.

“Projek itu untuk tenaga hidro di Kalimantan yang membabitkan 25 peratus ekuiti menerusi Sarawak Energy Berhad. Ini perancangan pertama mereka (Indonesia) untuk membekalkan elektrik ke taman perindustrian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Pampasan bagi projek-projek di Bahagian Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini, hari ini.

Empangan hidroelektrik itu dibina secara usahasama antara Sarawak Energy Berhad dan syarikat Indonesia. Ia dijangka mampu menghasilkan tenaga elektrik 1,375 megawatt.

Awang Tengah berkata lagi, kerjasama erat antara Sarawak dengan Indonesia akan memberi impak positif terutama apabila negara jiran itu kini membangunkan ibu kota negara baharu yang dinamakan sebagai Nusantara.

“Nusantara itu adalah satu kawasan yang sedang dibangunkan dan ia dijangka akan memberi impak kepada kita. Sekurang-kurangnya kita dapat saling melengkapi,” katanya.

Pada 1 Mac lepas, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembabitan Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad dalam pembinaan empangan hidroelektrik di Malinau merupakan satu langkah ke hadapan yang penting bagi sektor tenaga boleh diperbaharui Sarawak.

Menurutnya, pelaburan SEB dalam projek itu merupakan langkah strategik ke arah mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai kuasa ekonomi serantau.

Abang Johari dan Awang Tengah  dan rombongan diundang ke majlis pecah tanah projek pembinaan empangan hidro elektrik yang disempurnakan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan