KOTA SAMARAHAN, 13 Mac: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan Kerajaan Sarawak mengiktiraf Tanah Hak Adat (NCR) Bumiputera sekiranya terdapat bukti sokongan yang sahih.
Menurutnya, ini terbukti dengan usaha kerajaan menyukat NCR menerusi inisiatif baharu yang telah dilakukan sejak beberapa tahun lepas.
“Kita tidak mahu menidakkan hak orang lain. Sekiranya ada bukti yang cukup (bagi menyokong tanah itu adalah NCR), kita bantu sukat tanah,” katanya pada majlis Penyampaian Cek Pampasan bagi projek-projek di Bahagian Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.
Tambahnya, penyukatan NCR adalah penting bagi memastikan persempadanan tanah adalah jelas bagi memudahkan apa jua urusan berkaitan tanah.
Dalam pada itu, Awang Tengah berkata pembangunan pesat yang berlaku di Bahagian Samarahan menjadi bukti manfaat diperoleh rakyat yang terus bekerjasama dengan kerajaan untuk memudahkan pelaksanaan projek di kawasan mereka.
Jelasnya, Bahagian itu yang hanya dapat dihubungi menerusi pengangkutan sungai sebelum tahun 1980-an kini sudah menikmati banyak kemajuan dari segi kemudahan infrastruktur dan taraf hidup rakyatnya.
“Malah setelah ada kemajuan atau pembangunan, nilai tanah di kawasan kampung, luar bandar dan pedalaman akan menjadi lebih tinggi jika sudah banyak kemajuan dari segi kemudahan,” katanya.
Katanya pelaksanaan projek-projek pembangunan di Sarawak terutamanya di luar bandar serta pedalaman akan dipercepatkan jika rakyat terus bekerjasama dalam urusan melibatkan pampasan hartanah.
Menurutnya pemilik tanah tidak perlu khuatir kerana setiap pampasan yang diberikan adalah setimpal dengan nilai semasa.
Pada majlis itu, Awang Tengah menyerahkan sejumlah cek yang bernilai keseluruhannya lebih RM20 juta kepada 111 orang penerima pampasan yang melibatkan projek pembangunan jalan kampung, jalan pesisir serta skim pembesaran kampung. – TVS