LOS ANGELES, 13 Mac : Bintang Hollywood dari Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di persada dunia apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada acara Anugerah Akademi Oscars ke-95, hari ini.
Pada majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Dolby Theatre, di sini itu, Yeoh, 61, merangkul anugerah berkenaan menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All At Once.
Yeoh yang dilahirkan pada 6 Ogos 1962 di Ipoh, Perak melakar kejutan besar apabila menewaskan bintang filem dunia lain iaitu Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie; Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana De Armas (Blonde).
Beliau merupakan pelakon pertama dari Asia yang berjaya memenangi anugerah berprestij itu.
Dalam ucapan ringkasnya di atas pentas selepas menerima anugerah itu, Yeoh berkata “buat semua kanak-kanak yang kelihatan seperti saya sedang menonton saat ini, ini adalah bukti impian menjadi kenyataan.
“Dan wanita, jangan biarkan sesiapa memberitahu anda bahawa sudah terlambat untuk mencapai kejayaan.”
Sebelum ini, Yeoh cemerlang meraih trofi sama pada beberapa acara anugerah termasuk Anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild Awards (SAG).
Aktres itu mula dikenali menerusi penglibatannya dalam dunia perfileman pada akhir 80-an apabila membintangi beberapa filem bersama Jackie Chan seperti Yes, Madam, Police Story 3, Supercop, dan Holy Weapon.
Kariernya terus memuncak selepas beliau membintangi filem James Bond, Tomorrow Never Dies (1997) dan filem aksi Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000).
Lakonannya dalam filem tersebut telah membawanya ke puncak hingga tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik BAFTA. – TVS