KUCHING, 12 Mac: Seorang polis berpangkat konstabel maut dalam kemalangan kendiri di Kilometer 32 Jalan Kuching-Serian, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan (DSP) Aswandy Anis berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Shamezad Mohd Salehuddin bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian maut di lokasi kejadian dalam kemalangan yang berlaku pada jam 6.35 pagi itu.
“Ketika sampai di tempat kejadian, kita mendapati sebuah kenderaan berwarna biru jenama Honda yang dipandu seorang lelaki berumur 28 tahun telah terputus dua.
“Siasatan mendapati kenderaan dipandu dari arah Kuching menuju ke Serian itu dipercayai telah hilang kawalan dan telah melanggar besi pembahagi jalan dan seterusnya melanggar simen konkrit hujung Jambatan Sungai Samarahan.
“Akibat kemalangan tersebut pemandu tercampak keluar di tepi jalan atas Jambatan Sungai Samarahan, “ katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Aswandy berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik Hospital Serian dan jenazah mangsa dibawa ke Hospital Serian untuk proses bedah siasat.
Tambah beliau, semasa kejadian, keadaan cuaca hujan dan jalan basah serta licin, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mohd Azman Ahmad Sapri bersama timbalannya, DCP Dato Mancha Ata serta seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham menerusi satu hantaran yang dimuatnaik di laman Facebook PDRM Sarawak, hari ini.
“Seluruh warga PDRM Kontinjen Sarawak mendoakan agar roh Allahyarham dalam rahmatNya serta ditempatkan bersama para solihin dan semoga diberikan ketabahan buat keluarga Allahyarham atas pemergian beliau, “ kata hantaran tersebut. -TVS