KUALA LUMPUR, 11 Mac: Empat tonggak utama Sabah FC mungkin tidak dapat diturunkan pada perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC, Ahad ini di Stadium Darul Makmur.
Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata Telmo Castanheira, Gabriel Peres, Jailton Da Silva dan Darren Lok cedera selepas perlawanan menentang Kuching City FC, Isnin lalu.
Menurutnya, beliau tidak begitu bimbang dengan ketiadaan mereka kerana ada beberapa pemain bersedia untuk mengisi tempat mereka sekali gus mampu memberikan saingan hebat.
“Kita akan lihat perkembangan mereka, jadi saya hanya dapat tentukan mereka dapat diturunkan atau tidak selepas latihan esok. Kita masih mempunyai lebih kurang 48 jam sebelum bertemu pasukan Sri Pahang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kim Swee berkata secara keseluruhannya, pemain-pemain lain berada dalam keadaan amat baik.
“Saya percaya kecergasan mereka dalam tahap yang cukup tinggi, setiap pemain yang diturunkan tidak kira pada kesebelasan utama atau dimasukkan pada masa gantian mampu menunjukkan tahap kecergasan yang cukup bagus,” katanya.
Mengulas mengenai gandingan Saddil Ramdani dan Darren Lok, Kim Swee berkata, kedua-dua pemain ini bukan sahaja menunjukkan kombinasi yang baik tetapi mereka berjaya menjaringkan gol serta bermain dengan begitu baik pada setiap perlawanan.
“Kedua-dua mereka sangat serasi, walaupun mereka ini baru digandingkan bersama-sama dalam beberapa perlawanan tetapi prestasi mereka cukup baik.
“Begitu juga dengan pemain-pemain lain juga dilihat sangat komited dengan menunjukkan satu prestasi yang cukup baik.
“Saya harap agar semua pemain dapat mengekalkan rentak persembahan yang baik disamping mampu menunjukkan prestasi cemerlang mereka untuk perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya. – TVS