LAWAS, 10 Mac: Kekurangan tenaga buruh dari Indonesia tidak menghalang pelaksanaan projek-projek pembangunan di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan mempunyai rancangan bagi memastikan projek-projek di Sarawak terus dilaksanakan.
Menurutnya, kerajaan Sarawak telah menubuhkan satu unit di Jabatan Premier Sarawak khusus untuk buruh, imigresen dan pemantauan projek dalam usaha mengatasi isu kekurangan tenaga buruh.
“Kita boleh melihat keupayaan, kemahiran yang kita perlukan dan sebab itu kita dalam kerajaan negeri kita ada satu unit yang khas di bawah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Dato Gerawat Gala,” katanya ketika lawatan tapak projek pembinaan Kompleks Pentadbiran Lawas sini pada Khamis.
Turut sama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Aidel Lariwoo.
Awang Tengah turut menyeru pembabitan tenaga kerja tempatan untuk mengisi kekosongan yang banyak dalam pelbagai projek pembangunan di Lawas mengikut kemahiran masing-masing.
Dalam pada itu beliau mahu masyarakat Lawas yang mempunyai kemahiran dalam bidang pembangunan untuk segera merebut peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang tersebut.
Peluang dan ruang tersebut katanya seharusnya direbut oleh masyarakat Lawas agar segala pelaksanaan projek di daerah itu tidak bergantung sepenuhnya dengan tenaga pekerja asing. – TVS