MIRI, 10 Mac: Lapan puluh orang terjejas apabila sembilan rumah terbakar di Kampung Wireless di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak berkata enam rumah terbakar 100 peratus, dua rumah hangus 50 peratus manakala sebuah rumah 20 peratus.
Bomba menerima panggilan kebakaran yang membabitkan 12 keluarga pada 7:15 pagi.
“Kerja-kerja mengawal dan memadam kebakaran masih dijalankan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Operasi pemadaman membabitkan anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri Sentral dan Lutong.
“Pemadaman juga turut dibantu menggunakan pam angkut dan kapal nelayan milik persendirian penduduk kampung dengan satu aliran dua nozel,” katanya.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – TVS