LAHAD DATU, 9 Mac: Tiga adik beradik terkorban dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan KM 30 Jalan Lahad Datu-Tungku, semalam.
Dalam kejadian jam 6.45 petang, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Amil Sappari, 45, Isang Sappari, 39, dan Ellaine Sappari, 4, yang menaiki sebuah motosikal.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitenden Azmir Abdul Razak berkata, motosikal dinaiki tiga adik beradik itu datang dari arah Tungku menuju ke Lahad Datu manakala dua pikap dari arah bertentangan.
Menurutnya, motosikal dinaiki mereka bertembung ketika sebuah pikap sedang memotong sebuah lagi pikap.
“Akibat kejadian itu menyebabkan kesemua mangsa tercampak ke lorong kiri dan masuk ke bawah Isuzu Dmax sehingga menyebabkan kenderaan berkenaan hilang kawalan dan terbabas,” katanya ketika dihubungi.
Tiga adik beradik itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan manakala lima individu dari dua pikap itu tidak mengalami kecederaan.
Azmir berkata, hasil siasatan polis mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemandu pikap yang memotong secara berbahaya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS