KUCHING, 9 Mac: Usaha kerajaan Sarawak menyediakan premis transit seperti Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) Kuching telah membantu negara dalam menangani isu pemerdagangan manusia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, merujuk status Malaysia yang berada pada Tahap Tiga (Tier 3) dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Mengenai Pemerdagangan Orang (US Tip Report) 2022, komponen seperti premis transit boleh digunakan sebagai tempat perlindungan khususnya kepada individu yang tampil sebagai saksi.
“Sementara kita menguruskan mangsa pemerdagangan ini, kalau dia merupakan individu yang berpotensi sebagai saksi misalnya, jadi premis sebegini penting sebagai transit sekiranya saksi dalam proses menghadiri prosiding mahkamah dan sebagainya.
“Dengan adanya fasiliti seperti ini, ia sebenarnya mampu menyumbang ke arah memperbaiki kedudukan kita.
“Kementerian Dalam Negeri memberikan perhatian serius kepada penyediaan aspek logistik seperti ini kerana akan membantu kami untuk memperbaiki peranan khususnya di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM),” katanya ketika ditemui semasa lawatannya ke CSSC Kuching di sini, hari ini.
Turut mengiringinya ke CSSC ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Jelasnya lagi, ini menunjukkan bahawa Malaysia serius dan komited dalam membanteras aktiviti pemerdagangan manusia.
Beliau menambah, peranan premis transit amat penting, sementara premis tetap diusahakan dalam rancangan jangka panjang kerajaan.
Jelasnya, setiap negeri di Malaysia kini lengkap dengan premis transit. – TVS