KUCHING, 9 Mac: Sinar kegembiraan terpancar di wajah 40 kanak-kanak lahir di Sarawak yang sebelum ini berstatus bukan warganegara berikutan hari ini mereka telah diberikan taraf kewarganegaraan secara sah.
Penyerahan kewarganegaraan kepada anak Sarawak itu dianugerahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu majlis rasmi di sini, hari ini.
“Adalah menjadi tugas besar untuk sebuah kerajaan yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan pelbagai isu rakyat seperti kewarganegaraan.”
“Tanpa taraf kewarganegaraan, anak-anak ini akan sukar untuk mendapatkan peluang pendidikan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan negara,” katanya dalam ucapan beliau.
Penerima-penerima tersebut merupakan sebahagian daripada pemohon-pemohon yang telah dipertimbangkan sebagai layak selaras dengan perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
Di bawah perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan boleh atau ‘dalam keadaan khas yang difikirkan patut’; mengarahkan supaya seseorang yang berumur kurang daripada 21 tahun didaftarkan sebagai warganegara.
Ujarnya, kelulusan ini dapat dilakukan dengan segera hasil usahasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak, yang diketuai oleh menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah.
“Semua ini bermula apabila Dato Sri Fatimah Abdullah mengunjungi saya pada 17 Januari di Putrajaya dan membawa hasrat agar KDN dan Kerajaan Sarawak dapat mewujudkan sebuah jawatankuasa bersama.”
“Sejak jawatankuasa dibentuk pada Januari, angka permohonan adalah sebanyak 946 dan kami menyasarkan keputusan akan diberi kepada semua pemohon menjelang Jun tahun ini,” katanya.
Menurut Nasution, jawatankuasa bersama itu juga telah memberi keputusan kepada 293 pemohon kewarganegaraan di Sarawak setakat hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Timbalan Menteri KPWK, Datuk Rosey Yunus – TVS