Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Bandaraya Adam Yii (empat dari kiri) semasa sesi bergambar dengan Kanselor MBM dan Persatuan Marathon Miri. Foto: TVS.

5,628 pelari sertai Maraton Miri 2023

MIRI, 9 Mac: Seramai 5,628 peserta mengambil bahagian dalam Maraton Miri 2023 (MM23) pada 19 Mac ini.

Sambutan hangat daripada penggemar sukan larian jarak jauh itu merangkumi penyertaan dari dalam dan luar negara iaitu 3,380 peserta dari Sarawak, 556 peserta (Sabah dan Labuan), 534 peserta dari Semenanjung Malaysia, 996 peserta (Brunei), 47 peserta (Indonesia), 43 peserta (Singapura), 28 peserta (Kenya), 20 dari United Kingdom dan Amerika Syarikat (US), enam dari Australia, lima dari China, lima dari Filipina, empat dari Belanda, dua peserta bagi Portugal dan Afrika Selatan.

Datuk Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, perlumbaan bertaraf anatarabangsa itu dianjurkan semula oleh Persatuan Maraton Miri pada tahun ini setelah tertangguh ekoran pandemik COVID-19 dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tahun lalu.

“Persatuan Marathon Miri bertujuan untuk menghidupkan semula perlumbaan maraton dan meneruskan dengan objektif untuk memupuk gaya hidup sihat dan minat untuk berlari dalam kalangan masyarakat Miri tidak kira muda dan tua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Maraton Miri 2023 (MM23) di Dewan Bandaraya Miri di sini, hari ini.

Menurutnya, selain menyertai perlumbaan bertaraf antarabangsa itu, para peserta juga berpeluang menikmati  pemandangan indah di sepanjang laluan Bandaraya Miri.

“Bandaraya Miri mempunyai lokasi yang strategik untuk menjalankan larian jarak jauh dengan pemandangan indah di sepanjang laluan yang akan melalui pusat bandar, pemandangan laut, kampung, tempat menarik dan beberapa bangunan ikonik juga,” ujarnya.

Pada masa sama, tambahnya program tersebut dapat memupuk gaya hidup sihat dan minat dalam kalangan penduduk Miri terhadap sukan larian.

Justeru itu, katanya lagi MBM amat menyokong acara sedemikian kerana ia bukan sahaja mempromosi Bandaraya Miri untuk lebih dikenali di peringkat global namun sekali gus merupakan inisiatif menjadikan Miri sebagai sebuah bandar raya peranginan pintar dan hijau serta boleh didiami.

“MBM bersedia untuk memberi sokongan terhadap acara ini kerana ia berada di tangan yang baik daripada pengalaman dan penganjur yang berkebolehan dan lebih-lebih lagi acara ini telah menarik ramai pelari luar negara selain peserta tempatan”.

“Saya percaya penganjur akan meneruskan program ini dan ia boleh menjadi salah satu acara tahunan di bawah Kalendar Acara Pelancongan Miri,” jelasnya.

Pada 19 Mac ini MM23 akan bermula di Taman Bulatan Miri dengan pelepasan bagi tiga kategori iaitu acara utama 42 kilometer (km) bermula pada 2 pagi, 21 km pada 5 pagi dan 10 km pada 6 pagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan