KUALA LUMPUR, 8 Mac: Kerajaan bersedia membantu pihak yang berminat untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi membangunkan perkhidmatan kereta api Trans Borneo dari Sarawak ke Kalimantan, Indonesia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementeriannya mengikut secara rapat perkembangan ibu negara baharu Indonesia iaitu Nusantara di Kalimantan serta impaknya terhadap sektor pengangkutan di Sabah dan Sarawak.
“Namun ketika ini, Kementerian Pengangkutan belum mempunyai cadangan untuk membina landasan kereta api yang hubungkan Sarawak, Brunei, Sabah ke Nusantara,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Anthony turut menjelaskan di Sarawak ketika ini tumpuan sedang diberikan untuk menjayakan Kuching Urban Transportation System (KUTS) oleh Sarawak Metro.
“Di Sabah pula, tumpuan ke arah penambahbaikan mutu perkhidmatan kereta api di sana yang diuruskan oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah,” katanya.
Berhubung cadangan Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, beliau memberitahu, kerajaan lebih menumpukan usaha untuk melaksanakan perkara itu berbanding HSR Kuala Lumpur ke Bangkok.
“Kementerian sedang meneliti semua aspek sesuatu model kerjasama termasuk inisiatif swasta yang perlu diteroka.
“Sekiranya pihak swasta mempunyai kemampuan, (mereka) perlu dilibatkan supaya dapat sumbang kecekapan pembinaan HSR dalam masa singkat,” katanya. -TVS