KUCHING, 17 Mei 2021: Gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di Bahagian Betong bermula pada hari Ahad (16.05.2021) adalah berpunca daripada kebocoran paip akibat kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di kawasan Simpang Pusa.
Pengguna di beberapa kawasan – kawasan di Betong dijangka mengalami gangguan bekalan air selepas kebocoran paip adalah di seluruh kawasan rumah panjang dan persendirian dari Simpang Bajau sehingga Simpang Pusa dan Debak.
Pihak kontraktor Pan Borneo akan melakukan kerja-kerja penyambungan semula paip tersebut dengan kadar segera pada hari ini bagi mengurangkan impak besar gangguan bekalan air kepada para pengguna di kawasan-kawasan yang terjejas.
Penghantaran bekalan air turut dilakukan oleh pihak JBALB Bahagian Betong dan pihak kontraktor sehingga keadaan kembali pulih seperti biasa.
Para pengguna juga boleh menghubungi JBALB Call Centre di talian 082-262211 untuk mendapatkan maklumat dan informasi terkini.