SEMPORNA, 7 Mac: Seramai 3,400 pemimpin dan ahli daripada 69 cawangan Parti Warisan (Warisan) di siniĀ mengumumkan keluar parti hari ini.
Tindakan berkenaan bersandarkan bahawa parti terbabitĀ bukan lagi landasan politik untuk meneruskan perjuangan membela hak-hak rakyat Sabah.
Kesemua mereka yang diketuai Bekas Naib Ketua Warisan Bahagian Semporna, Marunda KK Ampong berkata, wadah untuk meneruskan perjuangan itu kini hanya boleh dilakukan melalui sokongan kepada parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat).
“Kami ambil keputusan untuk menyertai Gagasan Rakyat dan keputusan ini hasil perbincangan dengan seluruh sahabat yang terlibat untuk sertai parti yang terus menjaga rakyat negeri Sabah.
“Saya melihat parti Gagasan Rakyat menjadi satu wadah yang mendapat sokongan daripada parti politik tempatan yang mempunyai visi dan misi membangunkan Sabah dalam pelbagai sudut,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.
Marunda berkata, semua ahli Warisan yang keluar parti itu turut berharap Sabah akan terus mampu bersaing dengan mantap di peringkat negara dan global.
“Saya juga yakin dengan gabungan parti politik tempatan Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor akan menjadi titik permulaan kepada kesatuan antara kepimpinan dan rakyat di negeri ini,” katanya lagi.
Dalam masa sama lebih 100 ahli parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Bahagian Semporna turut menyatakan hasrat menyertai Gagasan Rakyat selepas mengumumkan keluar dari parti itu berkuatkuasa serta-merta.
Menurut bekas Ketua Penerangan Pejuang Bahagian Semporna, Pegawai Waran ll (Bersara), Idris Lahut berkata, parti Pejuang di Semporna tidak dapat meyakinkan rakyat di kawasan itu yang lebih menyokong parti tempatan.
“Dalam masa sembilan bulan, kekuatan parti Pejuang di sini tidak menggalakkan jadi kami ingin bersama-sama di dalam parti lokal untuk membantu dari segi aspek kebajikan dan ekonomi rakyat,” katanya.-TVS