Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perang mulut berlaku membabitkan penyokong kerajaan dan pembangkang pada Sidang Parlimen di sini hari ini. Foto tangkap layar Parlimen Malaysia.

Parlimen: Dakwaan jatuhkan Kerajaan Perpaduan panaskan dewan

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 7 Mac: Sidang Parlimen petang ini berlangsung tegang susulan dakwaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dibangkitkan oleh RSN Rayer.

Rayer (Pakatan Harapan – Jelutong) berkata, Tan Sri Abdul Hadi Awang (Perikatan Nasional – Marang) menyebut dalam dewan yang pembangkang sedang merancang berbuat demikian.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Dalam Negeri menjalankan siasatan kerana perkara itu salah di sisi undang – undang berdasarkan peruntukan Seksyen 124 b Kanun Keseksaan.

“Ini kerajaan yang diilhamkan oleh Tuanku (Yang di-Pertuan Agong ),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Ketika ini Mohd. Misbahul Munir Masduki (Perikatan Nasional – Parit Buntar) bangkit mencelah berdasarkan Peraturan 36 (6) iaitu mengeluarkan kenyataan yang membawa sangkaan jahat kepada Ahli Dewan Rakyat yang lain.

“Jelutong sebut Marang rancang, ini satu kenyataan jahat kerana Marang buat kenyataan politik berdasarkan perkembangan yang ada,” katanya.

Rayer kemudian membidas Mohd. Misbahul dengan mengatakan itu merupakan satu pengakuan (menjatuhkan kerajaan).

Syahredzan Johan (Pakatan Harapan – Bangi) turut terlibat dengan mengatakan sekiranya kenyataan itu dibuat, ia merupakan satu rancangan.

Jelutong kemudian meneruskan hujahnya berdasarkan kenyataan Abdul Hadi yang dilaporkan dalam surat khabar.

“Itu (kenyataan) surat khabar, boleh putar belit, bukan kenyataan terus,” balas Mohd. Misbahul.

Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor (Perikatan Nasional – Ketereh) kemudian masuk campur apabila meminta Jelutong supaya membuat laporan polis.

Penyokong kerajaan dan pembangkang kemudian saling meninggikan suara antara satu sama lain menyebabkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng menutup pembesar suara.

Pertelingkahan selama lima minit itu cuba ditamatkan oleh Alice apabila beliau meminta Fathul Huzir Ayob (Perikatan Nasional – Gerik) meneruskan perbahasan.

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Perikatan Nasional – Besut) kemudian membacakan peraturan mesyuarat berkenaan sebarang persoalan berkaitan laporan surat khabar tidak boleh dibangkitkan.

Melihat situasi semakin tegang, Alice menasihatkan semua Ahli Parlimen yang terlibat supaya bertenang atau mereka boleh ‘keluar’ sebentar dari dewan.

Namun demikian, perang mulut terus berlaku menyebabkan Timbalan Speaker memberi amaran akan menghalau wakil rakyat yang bangun mencelah tanpa kebenaran.

Tindakan beliau menyebabkan perbahasan dapat diteruskan dengan lancar. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan