Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lokasi Klinik Long Napir yang tergendala. Foto: Paulus Palu Gumbang

Masyarakat Penan, Kelabit rayu Kerajaan Persekutuan segera bina Klinik Long Napir tergendala

LIMBANG, 7 Mac: Masyarakat Penan, Kelabit dan kaum lain di Hulu Limbang di sini merayu kepada Kerajaan Persekutuan agar pembinaan Klinik Long Napir yang telah lama tergendala disegerakan.

Hasrat penduduk di kawasan pedalaman dan luar daerah itu telah disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang berhubung klinik terbabit merupakan keperluan yang amat didambakan mereka.

“Klinik Kesihatan Long Napir merupakan nadi utama penduduk khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar di daerah ini yang berdepan kekurangan prasarana asas dan kemudahan kesihatan lain,” katanya.

Menurutnya, projek tersebut berdepan dengan kelewatan yang agak lama hingga pembinaannya tergendala dan tidak diteruskan sehingga kini.

“Harapan kita ialah supaya pembinaan klinik ini akan diteruskan kerana ia sudah tergendala begitu lama. Saya difahamkan oleh Pejabat Daerah semalam ada pasukan dari Pejabat Residen yang bersama Kementerian Kesihatan akan datang ke Long Napir pada hari ini untuk mengadakan tinjauan dan melihat keadaan projek tersebut dan mungkin keperluan untuk menyiapkan projek tersebut.”

“Jadi harapan kita ialah supaya projek ini diteruskan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui TVS pada Program SABERKAS Prihatin anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Batu Danau di sini, hari ini.

Paulus menjelaskan lagi beliau turut melakukan kunjungan ke Long Napir, bersama Kelab Kebajikan dan Rekreasi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar yang mengadakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di SK Long Napir pada Ahad lepas.

Pada kunjungan berkenaan beliau berkesempatan melihat keperluan untuk membina jambatan gantung yang baharu di SK Long Napir dan di Kampung Bahagia Penan Hulu Limbang.

“Dana untuk semua pembangunan ini pada tahun ini adalah daripada Lembaga Wang Amanah Konsesi Hutan, jadi mereka telah memperuntukkan RM2.6 juta lebih untuk semua projek ini.

“Ia melibatkan dua jambatan gantung, asrama, membaiki asrama untuk SK Long Napir dan juga menaik taraf jalan simpang masuk di Kampung Bahagia, Long Napir,” ujarnya lagi.

Projek yang didambakan rakyat luar bandar itu pernah dikemukakan wakil rakyat di daerah ini beberapa kali pada Sesi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 2006 dan sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di bahagian Limbang dengan kos lebih RM3 juta, di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terdahulu.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan