SIBU, 7 Mac: Seorang pemandu lori maut selepas dihempap ‘bucket’ iaitu tempat muatan lori dalam kemalangan yang berlaku di Lorong Tun Ahmad Zaidi Adruce 1 di sini, pagi tadi.
Kejadian itu berlaku ketika mangsa dikenali sebagai Young Leh Kui, 57, dipercayai sedang membuat penyelenggaraan di bawah tempat muatan belakang lori sekitar jam 10 pagi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) 1), Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu pada jam 10.05 pagi sebelum lapan anggotanya digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan keluaran operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral mendapati seorang lelaki yang juga pemandu lori berkenaan telah tersepit di bawah bucket lori tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, setelah membuat ‘size-up’, komander operasi telah mengarahkan anggota untuk menyelamat dan mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas di mana mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh satu jam.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” ujarnya.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke bilik mayat Hospital Sibu untuk proses bedah siasat, operasi ditamatkan pada jam 11.16 pagi. -TVS