SHAH ALAM, 6 Mac: Kementerian Komunikasi dan Digital akan memanggil pengendali aplikasi Telegram di negara ini berikutan beberapa isu melibatkan platform itu.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menyedari aplikasi berkenaan ‘agak bermasalah’ berikutan pelbagai maklumat yang dikongsi termasuk kegiatan penipuan dalam talian, kandungan berkaitan keganasan dan kandungan lucah.
Berikutan isu itu menjadi kerisauan rakyat, Fahmi berkata, perkara itu perlu dibendung berdasarkan peruntukan undang – undang sedia ada.
“Kita (kerajaan) akan pertimbangkan (tindakan) namun tidak sampai ke tahap itu (menyekat telegram di Malaysia), yang penting kesanggupan penyedia perkhidmatan untuk bekerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada sesi Town Hall Rakyat Bersama Fahmi Fadzil anjuran sebuah syarikat media di sini malam ini.
Sebelum ini pelbagai pihak membangkitkan isu keselamatan melibatkan aplikasi Telegram berikutan pelbagai kandungan yang disebarkan menerusi platform itu.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan turut melihat Telegram sebagai medium penyampaian maklumat yang penting bahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga mempunyai akaun rasmi untuk berkongsi maklumat dengan pengguna.
“Namun kita tidak boleh nafikan aktivit penipuan juga berlaku bahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjawat jawatan berkenaan juga menjadi mangsa apabila akaun telegram beliau digodam.
“Sekiranya individu berjawatan boleh menjadi mangsa, apatah lagi rakyat biasa. Perkara ini perlu diatasi segera,” katanya. -TVS