Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
ADUN Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh melakukan tinjauan ke atas salah satu projek RTP di Sarikei. Foto: Facebook Len Talif

Projek RTP dan MRP Kuala Rajang lancar – Len Talif

SARIKEI, 6 Mac: Pelaksanaan beberapa projek rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang berjalan lancar, walaupun ada yang tertangguh akibat masalah cuaca dan isu teknikal, kata Datuk Len Talif Salleh.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu pelaksanaan termasuk pembinaan Rumah Saba yang bernilai RM1 juta, pembinaan surau Kampung Dibah atau Kampung Drahman Kria Sarikei dan pembinaan jejantas serta perparitan Kampung Selalang.

“Alhamdulillah, kalau saya lihat dari segi kualiti dan pelaksanaan projek, saya berpuas hati. Kekurangan di Rumah Tuai, Rumah Saba atau Rumah Grace seperti yang saya sudah bincang dengan penduduk di situ semalam adalah peruntukan tambahan untuk penyambungan elektrik ke rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita di Sarikei pada Ahad.

Menurutnya kerajaan juga akan melaksanakan pendekatan terbaik untuk mengatasi masalah penduduk asal Selalang selain mengkaji keperluan peruntukan untuk menambah baik masjid kampung berkenaan yang sudah berusia lebih 40 tahun.

Sehubungan itu katanya, beliau akan berusaha mendapatkan peruntukan daripada kementerian atau kerajaan negeri bagi tujuan berkenaan.

“Seterusnya, saya juga memantau projek surau Kampung Drahman Kria. Lokasi surau pada hari ini, Surau Darul Huda, kita memindahkan tapak surau ini berdekatan tepi sungai, pemandangan yang begitu indah dan ini juga menggunakan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP). InsyaAllah projek ini siap dalam masa terdekat sekurang-kurangnya dalam masa dua hingga tiga bulan, kita berusaha projek ini akan siap sebelum Hari Raya Haji nanti. InsyaAllah,” katanya lagi.

Menurutnya, sebahagian besar peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sudah disalurkan untuk melaksanakan projek termasuk di Tanjong Manis.

Bagaimanapun katanya, masalah teknikal mengakibatkan satu projek di Kampung Belawai mengalami kelewatan.

“Kontraktor untuk melaksanakan projek ini sudah dilantik, tetapi ada sedikit masalah daripada segi teknikal, sehingga melewatkan lagi pelaksanaan projek ini. Maklumlah, di celah-celah rumah di Kampung Belawai ini ada permasalahan daripada segi tiang dan menjejaskan struktur rumah-rumah yang akan dilintasi oleh sistem perparitan yang kita buat ini,” jelasnya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan