JAKARTA, 4 Mac: Sekurang-kurangnya 17 orang maut termasuk dua kanak-kanak sementara 52 orang cedera selepas kebakaran berlaku di sebuah depo simpanan bahan api yang dikendalikan oleh syarikat milik negara Pertamina di Plumpang, Jakarta Utara malam tadi.
Kebakaran yang berlaku itu menyebabkan penduduk berhampiran panik, api merebak di kawasan itu sehingga sebahagian daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.
Ketua Pengarah Pertamina, Nicke Widyawati yang mengesahkan kejadian yang berlaku itu berkata, api merebak ke rumah-rumah sekitar yang berhampiran dengan depo tersebut.
“Kebakaran yang berlaku di salah satu paip telah menyebabkan kebakaran besar pada depo kami yang juga berhampiran dengan rumah penduduk, kami akan fokus untuk pengendalian kejadian itu dan memberikan rawatan kepada mangsa terjejas,” katanya.
@tvstvmy Sekurang-kurangnya 17 orang maut selepas kebakaran berlaku di sebuah depo simpanan bahan api yang dikendalikan oleh syarikat milik negara Pertamina di Plumpang, Jakarta Utara, malam tadi. 📹 Bomba Jakarta #TVS122 #TVSNews #kebakaran #jakarta #plumpang #indonesia
Beliau turut berkata, Pertamina akan membentuk pasukan bersama untuk menyiasat punca kejadian semalam bagi mengelak kejadian serupa berulang.
Depo bahan api yang terbakar itu mempunyai kapasiti lebih 300,000 kiloliter, sementara seluruh tangki simpanan yang ada berkapasiti dua juta liter.
Sekurang-kurangnya 52 trak bomba dikerahkan untuk memadamkan api yang berketinggian lebih 30 meter. – TVS