SARIKEI, 3 Mac: Orang ramai termasuk penjawat awam diingatkan agar tidak terlalu ghairah menyebarkan situasi di lokasi bencana di media sosial.
Tindakan itu menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sarikei, Micheal Ronnie Langgong akan mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat.
“Sebahagian daripada bahan yang dikongsikan itu tidak mempunyai sumber yang tepat dan jelas.”
“Saya mohon khususnya penjawat-penjawat awam, jangan menyebarkan maklumat-maklumat terkini yang belum mempunyai sumber yang tepat daripada agensi-agensi yang terlibat kerana ia boleh mengundang pelbagai persepsi daripada masyarakat sekitar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Bahagian di Sarikei, pada Jumaat.
Sehubungan itu beliau berkata, orang ramai disarankan agar menghubungi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Bahagian mahu pun Daerah yang telah ditubuhkan.
Ini kerana katanya, kesahihan sumber hanya berpandukan maklumat tepat yang dikumpulkan oleh jawatankuasa tersebut sebelum disebarkan untuk pengetahuan masyarakat.
“Kita hanya berpandukan kepada jawatankuasa ini daripada segi maklumat dan fakta yang betul sebelum disebarkan. Kita juga selalunya mengumpul maklumat itu di peringkat bahagian dahulu, sebelum ia sah untuk disebarkan untuk maklumat orang ramai,” katanya lagi.-TVS