KUCHING, 2 Mac: Tawaran tiket percuma yang diagihkan pihak pengurusan pasukan Kuching City FC kepada peminat bola sepak Sarawak gagal membawa tuah apabila pasukan tuan rumah ‘dibelasah’ Selangor FC dengan keputusan 0-5 di Stadium Negeri, di sini, malam ini.
Beraksi di hadapan lebih 13,000 penonton, Selangor FC membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi Noor Al-Rawabdeh sebelum pasukan pelawat menambah luka tuan rumah menerusi jaringan Ayron Del Valle Rodriguez pada minit kelapan.
Dalam perlawanan Liga Super itu, ramuan jurulatih Irfan Bakti kurang menjadi apabila asakan yang dilakukan oleh anak-anak buahnya gagal memecah kebuntuan.
Masuk pada babak kedua tuan rumah dilihat lebih garang menerusi beberapa percubaan, namun masih gagal menghasilkan jaringan.
Selangor meneruskan rentak misi kemenangan dengan menambah jaringan ketiga pada minit ke-48 sekali lagi menerusi Noor Al-Rawabdeh.
Ketua Pasukan Selangor Brandan Gan turut tidak melepaskan peluang untuk mencipta koleksi gol di bumi Sarawak pada minit ke-65.
Gol kelima pasukan pelawat pula berjaya dihasilkan Daniel Asri pada minit ke-73. – TVS