Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Rolland Duat, Wee Teck Min, Adiman, Helestine, James dan Faiz merakam kenangan bersama ketua masyarakat dan ketua kaum DUN Meluan selepas taklimat mengenai rangkaian telekomunikasi di Pejabat Daerah Julau pada Rabu. Foto: SMA

Penduduk 245 rumah panjang di DUN Meluan bakal nikmati rangkaian telekomunikasi

ByOdleen Catherny

JULAU, 2 Mac: Sebanyak 245 rumah panjang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan bakal menikmati kemudahan rangkaian telekomunikasi yang kini giat dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin berkata dengan adanya kemudahan itu kelak, banyak manfaat boleh diterima penduduknya terutamanya dari segi pendidikan dan keusahawanan.

“Saya juga berharap supaya para pelajar sekolah tidak ketinggalan dalam mencari sebarang maklumat berbentuk pendidikan apabila dilengkapi dengan rangkaian telekomunikasi kelak.

“Kemudahan asas seperti ini amat penting dalam usaha kita melahirkan para pelajar yang berkualiti,” katanya selepas mendengar taklimat mengenai rangkaian telekomunikasi bagi DUN Meluan yang disampaikan oleh Pengarah MCMC Sarawak, Adiman Ajem dan Pegawai Pengurusan Pemegang Taruh SDEC, Mohd Faiz Jafni di pejabat Daerah Julau di sini, pada Rabu.

Turut hadir, Pegawai Daerah Julau, Wee Teck Min, Jurutera Wilayah Tengah Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Ts. Helestine Lium, Ahli Teknologi SMA, James Bungan serta ketua masyarakat dan ketua kaum DUN Meluan.

Dalam pada itu, Rolland menyeru Biro Wanita DUN Meluan untuk menceburkan diri dalam bidang kraf tangan sebagai persediaan melibatkan diri dalam e-dagang setelah kawasan itu nanti dilengkapi dengan rangkaian telekomunikasi.

Jelasnya, 116 Biro Wanita yang terdapat di kawasannya perlu mengasah bakat mereka untuk ditonjolkan kepada dunia luar.

“Saya percaya dengan wujudnya rangkaian telekomunikasi secara menyeluruh, kawasan Meluan tidak lagi tertinggal dalam agenda pembangunan ekonomi digital Sarawak.

“Penduduk kampung dapat memasarkan produk pertanian mereka seperti lada, kelapa sawit, terung asam dan cangkuk manis kerana produk berkenaan yang banyak diusahakan di kawasan Meluan,” jelasnya.

Dalam taklimat terbabit, Adiman memberitahu, sebanyak 17 menara baharu dengan rangkaian 4G akan dibina di kawasan Meluan yang dilengkapi dengan pihak pembekal perkhidmatan.

Faiz pula berkata, sebanyak 13 menara SMART (Telekomunikasi Luar Bandar SMA) bagi fasa kedua dijangka siap dibina pada suku keempat tahun ini di bawah SDEC.

Selesai taklimat berkenaan, Rolland mengambil kesempatan untuk meninjau sendiri tapak pembinaan menara SMART di bawah SDEC di Julau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan