LIMBANG, 2 Mac: Percubaan menyeludup rokok bernilai RM435,000 berjaya dipatahkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Limbang menerusi Op Kontraban di sungai berhampiran Kampung Limpaki pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata polis turut menahan tiga lelaki warga tempatan dan menyita empat kenderaan serta sebuah bot bernilai RM220,000.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis menemui 2,900 karton rokok menerusi operasi yang dijalankan seorang pegawai dan enam anggota pada kira-kira 4.30 petang.
“Tiga orang ditangkap masa operasi tersebut sudah kita bawa ke mahkamah dan kita memperolehi reman tiga hari daripada majistret. Siasatan masih diteruskan dan ini adalah kejayaan terbesar pada awal tahun ini,” katanya ditemui TVS di Pejabat Polis Marin Wilayah Lima di sini, hari ini.
Parum berkata lagi hasil siasatan mendapati bekalan rokok tersebut dipercayai untuk dipasarkan di sekitar daerah Limbang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.
Beliau juga meminta orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam aktiviti penyeludupan supaya tindakan pembanterasan dapat dilakukan secara berterusan, cepat dan berkesan. – TVS