KUALA LUMPUR, 2 Mac: Penggunaan ubat Pre-Exposure prophylaxis (PrEP) sebagai langkah pencegahan penularan HIV membantu kerajaan menjimatkan kos sebanyak RM47 juta, kata Lukanisman Awang Sauni.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, penjimatan itu melibatkan tempoh 2006 hingga 2013 berdasarkan kajian oleh Centre of Excellence for Research in AIDS (Ceria).
Namun katanya, kajian berhubung kesannya kepada kewangan negara akan diteliti semula selepas tempoh pelaksanaannya selesai memandangkan projek perintis itu sedang dilaksanakan.
“Ia termasuk keperluan meneruskan projek rintis ini pada tahun-tahun seterusnya,” katanya di Parlimen di sini hari ini.
Lukanisman berkata demikian sebagai menjawab soalan oleh Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Perikatan Nasional – Kuala Langat) yang ingin tahun kesan penggunaan ubat berkenaan kepada kewangan negara.
Sementara itu, Lukanisma berkata, penggunaan PrEP merupakan kaedah pencegahan farmaseutikal masa kini yang berkesan dan berupaya mencegah jangkitan secara seksual sehingga 99 peratus.
“Kaedah ini telah terbukti secara saintifik melalui banyak kajian di luar negara. Pengambilan ubat ini hendaklah mengikut arahan serta melalui pemantauan doktor pakar terlatih,” katanya. -TVS