KUALA LUMPUR, 2 Mac: Kehadiran pemain naturalisasi dalam pasukan bola sebak kebangsaan tidak menjadi kerisauan kepada pembangunan bola sepak negara.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ini kerana kerajaan dan kementerian sentiasa bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memastikan pemain tempatan bola sepak tempatan diberi keutamaan.
“Ini (dilakukan) melalui program agenda pembangunan bola sepak negara, itu sahaja,” katanya pada Sidang Parlimen hari ini.
Terdahulu, Hannah menjawab soalan tambahan dikemukakan Kalam Salan (Perikatan Nasional – Sabak Bernam) mengenai kehadiran pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan.
Sementara itu, Hannah turut memaklumkan Malaysia kini di kedudukan ke-147 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Di peringkat Asia pula, pasukan kita berada pada kedudukan ke-25 dan kelima di Asia Tenggara,” katanya.
Berhubung perlantikan jurulatih asing bagi mengemudi pasukan kebangsaan, beliau memberitahu, FAM sebagai badan induk bola sepak negara bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilihan pemain dan jurulatih.
“Pada 21 Januari 2022, FAM mengumumkan Kim Pang Gon sebagai ketua jurulatih negara dan beliau buktikan selepas mengambil tanggungjawab itu, Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia dalam tempoh 43 tahun,” katanya. -TVS