KUCHING, 1 Mac: Pembabitan Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam pembinaan empangan hidroelektrik di Malinau, Kalimantan Utara merupakan satu langkah ke hadapan yang penting bagi sektor tenaga boleh diperbaharui Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berkata demikian menambah, pelaburan SEB dalam projek itu merupakan langkah strategik ke arah mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai kuasa ekonomi serantau.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Premier Sarawak susulan majlis pecah tanah projek pembinaan empangan di Malinau, Kalimantan Utara, hari ini.
Abang Johari dan rombongannya tiba di Malinau pada Selasa atas undangan konsortium pelabur untuk menyaksikan upacara pecah tanah projek.
Setelah siap, projek yang membabitkan kos USD2.6 bilion itu berupaya menjana 1,375 megawatt.
Turut serta dalam rombongan itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni.
SEB mempunyai 25 peratus ekuiti dalam syarikat induk yang mempunyai dua pemegang saham lain iaitu PT Kayan Patria Pratama (25Â peratus) dan PT Adaro Energy Indonesia Tbk (50 peratus).
Hidroelektrik itu akan membekalkan kuasa kepada industri tempatan di Kalimantan Utara dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2030.
Upacara berkenaan disempurnakan Presiden Indonesia Joko Widodo.
Jokowi ketika berucap berkata projek itu mencerminkan semangat kerjasama yang erat antara rakyat Indonesia dan Malaysia.
Beliau mengucapkan penghargaan kepada masyarakat setempat, antaranya Punan dan Lun Dayeh kerana menyokong penuh projek diharapkan dapat meningkatkan taraf ekonomi tempatan. – TVS