KUALA LUMPUR, 1 Mac: Sidang Parlimen yang suram pada sesi pagi bertukar panas petang ini apabila berlaku perang mulut membabitkan penyokong kerajaan dan pembangkang.
Kekecohan bermula apabila Datuk Seri Shahidan Kasim (Perikatan Nasional – Arau) mengatakan Mohd. Sany Hamzah (PH – Hulu Langat) berperangai seperti kera di hutan.
Tindakan Shahidan itu menyebabkan Mohd. Sany memohon supaya Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengarahkan supaya perkataan itu ditarik balik.
“Guna perkataan kera, sepatutnya sebagai orang lama, beri contoh yang baik, Speaker,” kata Mohd. Sany.
Bagaimanapun Mohd Misbahul (PN- Parit Buntar) bangkit mencelah apabila beliau bersetuju dengan kenyataan Arau.
Tindakan itu menyebabkan Mohd. Sany bangun dan ‘menjerit’ mengarahkan Mohd. Misbahul supaya duduk kerana isu itu tidak ada kena mengena dengannya.
Johari kemudian mencelah dengan mengatakan beliau mahu melihat berapa ramai ahli parlimen yang tidak dapat mengawal sikap sewaktu berbahas.
“Saya hendak tengok berapa ramai yang menjerit kerana rakyat sedang mengikuti Sidang Parlimen,” katanya.
Beliau kemudian bertanya kepada Arau sama ada mengungkapkan perkataan unparliamentary terhadap Hulu Langat namun dinafikan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu. -TVS