ADIYAMAN (Turkiye), 1 Mac: Hospital Medan Malaysia (HMM) yang beroperasi di Celikhan di daerah Adiyaman, Turkiye yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan dan dikendalikan ramai pakar menjadi tumpuan penduduk setempat serta mangsa gempa bumi bagi mendapatkan rawatan.
Komander Op Starlight 2, Brig Jen Datuk Dr Amran Amir Hamzah berkata HMMÂ oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu adalah satu-satunya hospital yang menyediakan khidmat perubatan kepada penduduk dan mangsa gempa bumi selepas hospital di daerah tersebut musnah akibat bencana itu.
“Populasi penduduk di sini kira kira 16,000 orang dan hospital mereka mengalami kerosakan yang teruk.
“Hospital mereka ada 25 katil dan kini tidak mampu beroperasi untuk menangani masalah kesihatan penduduk sekitar sama ada masalah kesihatan harian atau kecemasan,” katanya semasa ditemu bual Bernama TV selepas menerima lawatan daripada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut beliau berkata walaupun terdapat sebuah klinik berhampiran dengan hospital medan itu, klinik tersebut tidak mempunyai doktor pakar mahupun peralatan yang lengkap bagi merawat pesakit.
Dr Amran berkata hospital medan itu yang mempunyai 110 petugas melibatkan 14 pakar antaranya ortopedik, pembedahan, obstetrik dan ginekologi, pediatrik, anesthesia dan pergigian telah merawat seramai 888 pesakit sejak mula beroperasi pada 14 Feb lepas.
“Terdapat juga 12 pegawai perubatan bersama kami dan juga elemen sokongan daripada paramedik, jururawat dan juruteknik yang lain,” katanya.
Beliau menjelaskan sebilangan besar anggota yang ditugaskan di hospital medan ini mempunyai pengalaman yang luas dan pernah terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan di seluruh dunia seperti di Tacloban, Filipina dan Cox’s Bazar di Bangladesh.
Mengulas cabaran yang dihadapi mereka,  Dr Amran berkata selain suhu yang mencecah -10 darjah Celsius pada sebelah malam, anggota bertugas turut berhadapan dengan masalah komunikasi serta kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan pada peringkat awal.
“Cabaran kami adalah dari segi komunikasi dengan penduduk setempat, namun ada penterjemah bahasa warga Turki yang membantu secara sukarela.
“Selain daripada masalah cuaca, bekalan makanan harian kami terpaksa dibeli di lokasi yang agak jauh, kira-kira satu jam setengah memandangkan kedai di kawasan ini ditutup,” kata Dr Amran. – TVS