Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto: Jabatan Penerangan

Kerajaan tidak melihat keperluan Labuan bergabung dengan Sabah – PM Anwar

KOTA KINABALU, 28 Feb: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan bagi Wilayah Persekutuan Labuan bergabung semula dengan kerajaan negeri Sabah.

Keutamaan ketika ini menurut beliau adalah kerjasama yang erat untuk membangun wilayah berkenaan dan juga negeri Sabah.

“Bagi saya tidak ada isu dalam hal ini, apa yang perlu dilakukan adalah Labuan perlu membangun dan saya telah nyatakan dalam Bajet yang Labuan dan Sabah perlu bekerjasama untuk menghidupkan semula ekonomi yang agak sedikit lembap,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui media selepas menyampaikan Amanat Kepada Penjawat Awam Di Negeri Sabah pada Selasa.

Menurutnya, pembangunan di Labuan agak perlahan ekoran itu kerajaan Persekutuan akan memantau isu berkaitan serta mengambil langkah bagi menghidupkan semula wilayah itu.

Dalam pada itu Perdana Menteri juga berkata, berkaitan isu peruntukkan membabitkan RM6.5 billion kepada Sabah dan RM5.6 billion kepada Sarawak dalam Belanjawan yang diumum baru-baru ini, ia kini dalam proses perbincangan bersama pimpinan kedua-dua negeri itu.

“Kita bincang dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak berkaitan peruntukkan itu yang akan dibelanjakan di mana projek bernilai di bawah RM50 juta akan diserahkan kepada pengurusan kerajaan  negeri masing-masing untuk membuat keputusan,” katanya.

Berhubung pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak-Sabah Link Road yang dianggarkan melibatkan kos keseluruhan RM20 bilion iaitu melibatkan jajaran lebih daripada 1,000 kilometer akan diteruskan dan disegerakan.

“Untuk Pan Borneo pula saya sudah meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk memantau setiap fasa pembangunan dan setiap projek yang kerajaan negeri putuskan kita akan cadangkan percepatkan proses tender,” katanya lagi.

Mengulas amanat kepada penjawat awam pula, Anwar sekali lagi menyatakan hasrat untuk menambah baik gaji sekiranya situasi kewangan negeri dan negara berada di landasan tepat.

“Kalau ‘kantung’ (wang negara) baik dan defisit dikurangkan dan cara penjawat awam buat kerja, kemudian kita tengok hasil bertambah jadi mungkin untuk kita percepatkan, cuma mugkin hari ini sukar tapi kita akan bincangkan jika berlaku penambahan gaji pada masa akan datang,” jelasnya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan