GEORGE TOWN, 28 Feb: Seramai 16 individu termasuk sembilan penjawat awam direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di negeri ini dan Kedah membabitkan kes meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot dan ‘runner’ yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
Perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 4 Mac depan itu membabitkan enam individu termasuk seorang wanita yang dibuat di Mahkamah Majistret di sini.
Sementara itu, 10 individu lain direman di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi tadi.
Menurut sumber, SPRM menahan seramai 17 individu menerusi Ops Tunda membabitkan 10 individu bagi kes di Kedah dan tujuh di Pulau Pinang antara jam 9 pagi hingga jam 1 petang semalam.
“Bagi kes di Kedah lima penjawat awam dan lima orang awam berusia antara 26 hingga 57 tahun telah ditahan di sekitar Perlis, Kedah, Perak, Johor dan Kuala Lumpur.
“Sementara itu, di Pulau Pinang, tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan membabitkan empat penjawat awam dan tiga orang awam berusia antara 36 hingga 56 tahun, namun seorang dilepaskan dengan jaminan,” kata sumber itu hari ini.
Sumber tersebut berkata, kesemua suspek direman bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot dan ‘runner’.
“Ia sebagai balasan melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
“Kesalahan itu didakwa berlaku antara 2015 hingga tahun lalu,” kata sumber tersebut.
Sumber itu menambah, SPRM menyita pelbagai jenis telefon bimbit dan wang tunai bernilai kira-kira RM20,000 bagi membantu siasatan dalam operasi di Kedah.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
“Kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009,” katanya. – TVS