KUCHING, 28 Feb: Cahya Mata Sarawak Berhad mengumumkan keuntungan bersih bagi tahun kewangan (FY) 2022 meningkat 46 peratus kepada RM298.06 juta berbanding RM204.22 juta pada FY2021.
Syarikat berkenaan turut melaporkan peningkatan pendapatan FY2022 sebanyak 24 peratus kepada RM1.01 bilion berbanding RM814.55 juta pada 2021.
“Pendapatan Cahya Mata meningkat pada FY2022 susulan sumbangan yang tinggi dari Bahagian Simen dan Penyelenggaraan Jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Cahya Mata turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) menunjukkan peningkatan 76 peratus kepada RM412.30 juta berbanding RM234.61 juta pada FY2021.
Mengulas lanjut segmen perniagaannya, bahagian simen dilaporkan sebagai penyumbang terbesar dengan peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 30 peratus atau RM80.22 juta, terutamanya disebabkan peningkatan dalam jualan.
Dalam pada itu, bahagian penyelenggaraan jalan merekodkan peningkatan PBT sebanyak 78 peratus kepada RM17.11 juta susulan peningkatan margin keuntungan kasar.
“PBT bahagian dagangan sebaliknya menyusut 61 peratus kepada RM2.36 juta berbanding RM6.11 juta pada tahun sebelumnya, didorong pembukaan ekonomi yang membantu meningkatkan permintaan terhadap hartanah,” katanya. – TVS