Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas membuat lawatan ke Laluan 8101 Jalan Datuk Mohammad Musa di Kota Samarahan hari ini. Foto: Muqri Aziz (TVS)

Projek pembesaran Jalan Dato Mohammad Musa siap September ini – Uggah

ByMuqri Aziz

KOTA SAMARAHAN, 27 Feb: Projek pembesaran dilaluan 8101 Jalan Datuk Mohammad Musa bernilai RM180 juta dijangka siap pada September ini.

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, projek itu sedikit sebanyak akan mengurangkan kesesakan jalan raya yang menuju ke Kota Sentosa dari Kota Samarahan.

“Saya telah diberi taklimat oleh kontraktor bahawa projek ini berjalan dengan lancar dan dijangka akan siap lebih awal daripada jadual.

“Oleh itu, saya berterima kasih kepada kontraktor kerana dapat menyelesaikan permasalahan ini dan saya berharap agar ia akan siap diperbesarkan pada September 2023,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Hasil tinjauan TVS mendapati bahawa jalan tersebut diperbesarkan daripada dua laluan kepada empat laluan bagi mengurangkan kesesakan jalan raya terutamanya pada waktu puncak.

Ditanya mengenai Yang di-Pertuan Agong dijadualkan akan mengembara menelusuri Lebuhraya Pan Borneo pada September ini, Uggah berkata, ia akan memberi pandangan yang lebih jelas kepada baginda mengenai situasi ekonomi di Sarawak.

“Kami amat berbesar hati dengan impian baginda untuk menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang akan memberi gambaran yang baik atau sekurang-kurangnya kehidupan kita di Sarawak kepada baginda.

“Pada masa sama, itu juga akan memberi peluang kepada baginda untuk meninjau Sarawak dari segi ekonomi, rakyatnya, budaya dan persekitaran yang ada di sini,” katanya lagi.

Pada 12 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan impian untuk memandu menelusuri Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak dan Sabah bersempena sambutan Hari Malaysia.

Titah baginda, Program Kembara berkenaan sedang dirangka oleh Istana Negara dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah.

Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bermula pada 2015 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2024. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan