Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kawasan tapak projek berhampiran bangunan Tamu Limbang. Foto TVS.

MDL tidak berkompromi dengan aspek keselamatan di kawasan projek rakyat

LIMBANG, 27 Feb: Majlis Daerah Limbang (MDL) tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan orang ramai khususnya di kawasan tapak projek rakyat iaitu Projek Menaik Taraf Tebingan Sungai Limbang Fasa 3, berhampiran bangunan Tamu Limbang yang sedang giat dilaksanakan pada masa ini.

Wali Kota MDL, Kaunselor Sufian Mohat menjelaskan aspek keselamatan melibatkan masyarakat dan para peniaga di bangunan tamu berkenaan akan ditambah baik memandangkan kerja pembinaan projek sedang dilakukan selepas tapak projek diserahkan kepada pihak konsultan dan kontraktor sejak September tahun lepas.

Beliau berkata, terdapat beberapa aduan daripada orang ramai diterima pihaknya berhubung aspek keselamatan di kawasan tapak projek yang menjadi laluan dan tumpuan orang ramai yang akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Kita di MDL amat menitikberatkan soal keselamatan orang awam yang hendak melalui kawasan tersebut kerana kita sedia maklum kawasan itu telahpun diserahkan kepada pihak konsultan atau kontraktor. Sebenarnya kawasan itu tidak boleh dilalui ataupun digunapakai untuk sementara waktu, selagi projek masih berjalan disebabkan oleh kawasan itu tidak ada akses yang memang kita sebenarnya benarkan.

“Kita ada menempatkan beberapa kawasan yang berhampiran dengan kawasan tebingan sungai untuk orang ramai menggunakan kawasan tersebut sebagai tempat memunggah barang,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini bagi mengulas aduan orang ramai mengenai tahap keselamatan mereka yang melalui kawasan projek setiap hari susulan kedudukan projek yang berdekatan dengan Bangunan Tamu Limbang.

Katanya, pihaknya telahpun memaklumkan kepada pihak konsultan dan juga kontraktor untuk menyediakan sedikit keperluan yang berkait rapat dengan soal keselamatan.

“Kita sedia maklum kawasan tersebut memang belum memenuhi kriteria yang sepatutnya dan kita telah memaklumkan kepada pihak kontraktor agar selepas ini mereka mengambil perhatian terhadap isu-isu yang telah dibangkitkan antaranya berkaitan dengan soal kawasan yang ditempatkan sebagai jeti untuk digunapakai oleh rakyat membawa barang-barang untuk ditambah baik dari segi pencahayaan terutamanya pada waktu malam,” ujarnya lagi.

Orang ramai, para peniaga dan penduduk berhampiran juga diingatkan agar memberi perhatian terhadap kawasan tersebut, dengan hanya menggunakan laluan dan kawasan yang dibenarkan saja, bagi memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin.

Projek Menaik Taraf Tebingan Sungai Limbang Fasa 3 dengan kos RM27.4 juta merupakan projek rakyat di bawah Kerajaan Negeri melalui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bermula pada September tahun lepas dan dijangka siap pada tahun 2024. –TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan