KUCHING, 27 Feb: Tambahan peruntukan untuk melaksanakan program-program advokasi dan libat urus bersama komuniti masyarakat termasuk melatih Pasukan Bomba Sukarela menjadi antara keutamaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak untuk diberikan perhatian menerusi peruntukan diberikan dalam Belanjawan 2023.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datu Khairudin Drahman berkata, tambahan peruntukan untuk program berkenaan akan membantu JBPM Sarawak untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaannya berhadapan dengan bencana khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menurutnya, 39 buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh Sarawak tidak mencukupi untuk meliputi semua kawasan di negeri ini dan Pasukan Bomba Sukarela menjadi yang amat penting bagi kawasan yang jauh daripada Balai Bomba terdekat.
“Perlulah dipertingkatkan peruntukan untuk advokasi sebab bagi saya bila anggota Bomba Sukarela ini di kawasan pedalaman contoh Long Lama, Baram dan sebagainya banyak berlaku bencana besar namun tidak berlaku kegelisahan penduduk.
“Ini disebabkan anggota masyarakat yang dilatih dalam bomba komuniti telah bertindak dengan cukup baik dan ini bermakna kesiapsiagaan mereka tinggi serta peka dan apabila dilaporkan bencana akan berlaku mereka dah bertindak awal,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan JBPM Sarawak.
Menurut Khairudin, pihaknya akan meneliti keperluan aset bagi setiap kawasan sebelum sebarang perolehan untuk aset-aset berkenaan dilakukan.
Katanya, keutamaan akan diberikaan kepada perolehan aset-aset penyelamatan seperti bot dan jentera berkaitan untuk memastikan kelancaran tugas serta kesiapsiagaan anggota.-TVS