Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Mangsa baharu sahaja berada di muka depan sebuah majalah fesyen. Foto: Instagram/ xxabbyc

Polis temui kepala, tulang rusuk dalam periuk sup, dipercayai milik Abby Choi

HONG KONG, 27 Feb: Polis menemui kepala dan beberapa tulang rusuk dipercayai milik model Hong Kong, Abby Choi pada Ahad, dua hari selepas menjumpai sebahagian anggota badannya di sebuah rumah di Kampung Lung Mei, di daerah Tai Po.

Menurut laporan South China Morning Post yang memetik Unit Jenayah Wilayah Kowloon Barat, Superintendan Alan Chung, pakar forensik menemui kepala mangsa dalam salah satu daripada dua periuk sup di rumah berkenaan yang dirampas oleh polis pada Jumaat. 

Baca artikel berkaitan:

  1. 1. Kes bunuh Abby Choi: Suspek keenam berjaya ditahan
  2. 2. Kes bunuh Abby Choi: Empat bekas ahli keluarga ditahan reman tanpa ikat jamin

Chung berkata, dua periuk sup tersebut dijumpa oleh pakar forensik pada Sabtu. 

Ketika polis menemui periuk sup itu, ia dilaporkan penuh dan ditutup dengan lemak tebal, lobak hijau dan lobak merah serta daging yang dipercayai daging manusia di dalamnya.

Model Abby Choi dilaporkan hilang pada Selasa lepas. Foto: Instagram/xxabbyc

Chung juga berkata, tulang manusia ditemui di dalam sebuah periuk sup yang lebih kecil.

Pakar forensik juga menemui lubang berukuran 6.5 cm dan 5.5 cm di belakang tengkorak dan dipercayai berpunca daripada pukulan yang membawa maut. 

Lima orang sudah ditahan berkaitan dengan kes bunuh tersebut, iaitu bekas suami mangsa bersama abang dan ibu bapanya, dan kekasih bekas bapa mertua mangsa.

Pihak polis berjaya mengesan kes pembunuhan itu apabila menemui anggota badan mangsa di sebuah pangsapuri di Lung Mei Tsuen setelah dilaporkan hilang pada Selasa.

Polis turut menemui pengisar daging, gergaji elektrik dan dua buah periuk sup yang mengandungi tisu manusia, dua pemotong daging, tukul, pelindung muka, baju hujan hitam dan sebuah beg tangan berwarna ungu milik Abby selain dua kaki wanita dalam peti sejuk.

Suspek dilaporkan telah menutup dinding pangsapuri itu dengan layar.

Polis sedang meneruskan pencarian untuk anggota badan mangsa yang lain seperti tubuh badan dan tangan.

Seramai 100 anggota polis melakukan pencarian di Tanah Perkuburan Tseung Kwan O sejak Sabtu lalu dan memeriksa longkang di Lung Mei Tsuen untuk mencari anggota badan yang lain.

Polis membuat pencarian di kawasan tersebut berikutan siasatan polis yang menunjukkan bahawa bekas bapa mertua dan bekas abang ipar mangsa berada di kawasan tersebut pada Rabu, sehari selepas mangsa dilaporkan hilang. 

Mangsa dilaporkan hilang selepas gagal menjemput anak perempuannya pada Selasa. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan