Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bubuk yang ditangkap golongan nelayan di Miri boleh menghasilkan pelbagai produk. Gambar hiasan. Foto: TVS

‘Bubuk’ tarikan utama di Miri

MIRI, 26 Feb: Udang kecil atau lebih mudah dikenali sebagai ‘bubuk’ yang kebiasaannya ditemui pada bulan Februari dan Mac, mempunyai potensi untuk menjadi satu tarikan bagi penduduk tempatan mahupun pengunjung luar ke bandaraya Miri.

Begitulah yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, apabila melihat bubuk boleh dijadikan pelbagai produk dan proses penghasilannya yang menarik.

Datuk Sebastian (empat dari kanan) bersama tetamu pada sesi bergambar di tugu Tapak Pesta Bubuk. Foto: TVS

“Adalah menarik untuk diperhatikan bahawa kita boleh mempamerkan beberapa aktiviti berkaitan penangkapan bubuk, sejenis hasil laut udang kecil yang hanya boleh didapati dengan banyaknya di pinggir laut terutamanya di Miri pada bulan Februari dan Mac.

“Daripada bubuk, udang kecil seperti itu ia boleh bertukar menjadi produk seperti belacan, pes udang, cencaluk, sos udang yang diperam, cucur bubuk dan udang kering goreng. Dengan begitu banyak kepelbagaian produk yang boleh dihasilkan dari bubuk dan proses penghasilan pelbagai barangan, aktiviti ini boleh menjadi satu tarikan kepada pengunjung, selain daripada penduduk tempatan,” katanya.

Bubuk yang telah dikeringkan. Foto: TVS
Bubuk yang telah dikasam. Foto: TVS

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Pesta Bubuk Miri 2023 Sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Pasar Ikan Batu 1 di sini, hari ini.

Dalam pada itu Sebastian mencadangkan untuk mengadakan Pesta Bubuk dengan skala yang lebih besar dengan menggabungkan dua perkampungan iaitu Kampung Batu 1 yang merupakan sebuah perkampungan nelayan dan Kampung Pengkalan Lutong yang memiliki tarikan sungai.

Bubuk telah diproses menjadi belacan. Foto: TVS

“Tidak jauh dari Tanjung Batu 1, Kuala Baram, kita boleh menemui satu lagi tarikan sungai yang terletak di Pengkalan Lutong. Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah membangunkan sungai menjadi esplanade sungai yang indah beberapa tahun lalu. Terlintas di fikiran saya bahawa kedua-dua kawasan ini pada asasnya adalah perkampungan nelayan pada masa dahulu dan ramai penduduk kampung ini masih menjadi nelayan atau melakukan aktiviti yang berkaitan dengan kawasan pinggir sungai atau pinggir laut yang berhampiran.

“Oleh itu, terdapat banyak potensi yang boleh ditawarkan untuk menarik penduduk tempatan dan juga pengunjung dari luar negara seperti negara jiran seperti Brunei Darussalam. Sehubungan itu, pihak penganjur boleh memikirkan untuk menggabungkan dua kawasan tersebut supaya dapat mengadakan pesta dalam skala yang lebih besar dan pastinya ia boleh menjadi lebih menarik,” ujarnya lagi.

Justeru, beliau berharap para penganjur untuk meneroka potensi-potensi yang ada supaya suatu hari nanti Miri mempunyai perayaan berkaitan air setanding dengan Pesta Benak di Sri Aman dan Pesta Kaul di Mukah.

Pesta Bubuk Miri 2023 merupakan sambutan tahun yang ketiga sejak ia dianjurkan pada tahun 2020 oleh MBM dengan kerjasama penduduk sekitar Miri, Persatuan Nelayan dari Kampung Batu 1, Kuala Baram dan juga agensi-agensi kerajaan lain. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan