KUCHING, 26 Feb: Arena bola sepak tempatan Sarawak bersedih dengan pemergian bekas pemain skuad Ngap Sayot era 1980-an, Sulaiman Mustanir yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 61 tahun, semalam.
Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan rakannya, Borhaniza Abu Bakar menerusi satu hantaran di laman Facebook milik beliau.
Legenda pertahanan tinggi lampai Ngap Sayot itu menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Besar Kuala Lumpur, sekitar jam 5.30 petang semalam ekoran masalah jantung dan leukemia yang dihidapinya.
Menurut abang Allahyarham, Yusuf Mustanir, jenazah adiknya dibawa menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.30 pagi tadi ke Kuching, sebelum dibawa ke Masjid Kampung Lintang Petra Jaya untuk disolatkan.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang, Petra Jaya, hari ini.
Sulaiman Mustanir yang dilahirkan pada 30 September 1962 cukup dikenali dalam kalangan peminat bola sepak Sarawak kerana beliau merupakan pemain yang berkebolehan bermain di dua posisi berbeza iaitu di bahagian pertahanan tengah dan serangan.
Selepas bersara dari arena bola sepak profesional, Sulaiman menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan dan pernah memangku tugas sebagai jurulatih skuad Piala Presiden Sarawak pada 2018 menggantikan Abdol Wahet Uji. -TVS