Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan Belanjawan 2023 sebagai seimbang dari aspek agihan pembangunan. Foto: Akma Salleh (TVS)

Abdul Karim sifatkan Belanjawan 2023 sebagai seimbang dari aspek agihan pembangunan

ByAkma Salleh

KUCHING, 24 Feb: Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai satu belanjawan seimbang serta mencakupi pelbagai aspek pembangunan negara.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata seluruh negara menerima manfaat daripada apa yang dibentangkan.

“Bagi saya ia sangat baik, merangkumi seluruh pelusuk industri ekonomi serta tidak membebankan. Tambahan pula, kita kini sedang berusaha untuk pulih daripada pandemik global COVID-19.”

“Jadi saya rasa pemberian (peruntukan) RM5.6 bilion kepada Sarawak dan RM6.5 bilion kepada Sabah adalah cukup baik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Sape Junior dan Malam Apresiasi RTM di sini pada Jumaat.

Baca artikel berkaitan:

  1. Intipati Belanjawan 2023
  2. Belanjawan 2023: RM5.6 bilion peruntukan untuk pelbagai projek infrastruktur di Sarawak
  3. Belanjawan 2023: Peruntukan besar segerakan projek di Sarawak, Sabah – Fadillah

Bagaimanapun ujar Abdul Karim, terdapat satu perkara dalam intipati Belanjawan 2023 yang perlu dipertimbangkan iaitu peruntukan untuk memelihara Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

“Hanya Melaka dan Pulau Pinang sahaja diberikan peruntukan untuk memelihara Tapak Warisan.

“Saya tahu kos untuk memelihara Tapak Warisan ini besar, tetapi di Sarawak kita ada Taman Negara Mulu dan kawasan ini telah memberi pulangan yang cukup baik dari perspektif pelancongan. Jadi saya harap ia dapat dipertimbangkan kerana Taman Negara Mulu juga merupakan tapak warisan yang diiktiraf UNESCO,” katanya.

Terdahulu, Belanjawan 2023 yang dibentang Anwar di Dewan Rakyat pada Jumaat turut menyaksikan peruntukan sejumlah RM50 juta untuk memelihara Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh UNESCO. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan