Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Fadillah Yusof, mewakili penduduk Sarawak dan Sabah, mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meneruskan projek infrastruktur jalan raya dengan peruntukan besar.

Belanjawan 2023: Peruntukan besar segerakan projek di Sarawak, Sabah – Fadillah

KUALA LUMPUR, 24 Feb: Belanjawan 2023 menyaksikan peruntukan besar kepada Sarawak dan Sabah untuk menyegerakan pelaksanaan projek infrastruktur jalan raya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata beliau akan menerajui usaha ini bagi meningkatkan kesejahteraan hidup di kedua-dua negeri ini.

“Perdana Menteri sebut secara khusus tadi bahawa saya akan terus menjaga pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dan Sarawak-Sabah Link Road iaitu RM20 bilion untuk menerusikan projek dan juga jalan penghubung Sabah dan Sarawak.

“Saya juga telah diarahkan tadi secara spesifik untuk melihat memastikan ia dapat disiapkan dengan seberapa segera yang boleh,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Fadillah, mewakili penduduk Sarawak dan Sabah, turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meneruskan projek ini dengan peruntukan besar.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2023, Sarawak menerima RM5.6 bilion berbanding RM5.4 bilion pada tahun 2022.

Sementara itu,  Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata kementeriannya akan memberi penekanan kepada penglibatan pekerja tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor perladangan.

Beliau berkata syarikat besar diharap akan mencontohi inisiatif yang dilaksanakan oleh Sime Darby Plantation Bhd dalam menggaji pekerja tempatan untuk menguruskan ladang.

“Kita harap syarikat besar akan mencontohi (Sime Darby) supaya dapat menggalakkan pekerja tempatan dalam sektor perladangan dan mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing.

“Ini menjadi antara fokus kementerian supaya dapat meningkatkan produktiviti, hasilan dan eksport negara,” katanya.

Mengulas mengenai peruntukan belanjawan tahun ini, Fadillah berkata kementerian menyambut baik komitmen kerajaan, khususnya untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat serta agenda pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya KPK komited untuk memastikan sumbangan industri komoditi meningkatkan pendapatan kepada keluaran dalam negara kasar. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan