KUCHING, 24 Feb: Kerja penyelenggaraan lampu jalan di Leburaya Pan Borneo bukan di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) namun tertakluk kepada pihak Sarawak Energy (SESCO), kata Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang.
Perkara itu didedahkannya menerusi satu kenyataan hari ini berhubung JKR telah memperuntukkan SESCO untuk penggunaan elektrik daripada jalan di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo.
Menurutnya, penjelasan berkenaan membabitkan lampu jalan yang disediakan pihak SESCO di sepanjang Jalan Liu Shan Pang terjejas akibat pembinaan Lebuhraya Pan Borneo pada sekitar bulan Mei atau Jun tahun lalu yang telah mengakibatkan kabel lampu rosak.
“Pihak SESCO telah membekalkan lampu jalan sedia ada melalui bekalan elektrik sementera namun terjejas sekali lagi beberapa kali pada bulan Jun dan Oktober tahun lepas,” katanya selepas melakukan lawatan ke SESCO bagi mengetahui punya sebenar masalah lampu jalan tidak menyala di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo.
Khere Chiang memberitahu kesemua tiang lampu yang ditanda dengan warna biru dan oren telah diperbaiki oleh pihak SESCO
Sementara itu katanya hanya lapan tiang lampu yang berwarna kuning masih belum dibaiki berikutan memberi laluan kepada kerja-kerja kontraktor Lebuhraya Pan Borneo.
“Kontraktor Lebuhraya Pan Borneo telah berjanji untuk memasang semula kabel baharu pada kesemua lapan tiang lambu itu setelah kerja-kerja kontraktor telah siap.
“Kini, pihak SESCO sedang mengikuti rapat perkembangan itu dan menggesa pihak kontraktor mempercepatkan proses pemasangan kabel tersebut supaya kesemua lapan tiang lampu jalan dapat digunakan semula,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Khere Chiang menggesa pihak pembangkang untuk tidak mencemarkan nama baik MPP dan digalakkan mendapatkan informasi sahih daripada pihak SESCO.
Walaupun pada dasarnya jelasnya merupakan tanggungjawab JKR namun proses penyelenggaraan adalah di bawah tanggungjawab pihak SESCO dan pihak MPP tidak mempunyai sebarang kuasa atau tanggungjawab di atas permasalahan lampu jalan di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo. – TVS