SARIKEI, 24 Feb: Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan kendiri di Loji Air Jalan Tulai, Bintangor pada Jumaat.
Mangsa dikenali sebagai Liaw Jin Hui, 22, disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Munurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat BIntangor PBK II Peter Jinang, pihaknya telah menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian kira-kira jam 8.13 pagi.
Sejurus itu kata Peter, enam anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pihak kami mendapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah motosikal berkuasa tinggi dengan nombor pendaftaran QLC 4364 dipercayai dari arah Pekan Bintangor menghala ke Bandar Sibu,” katanya.
Jelas Peter, mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sementara pasukan bomba melakukan kerja-kerja pembersihan jalan sisa-sisa kemalangan dan kesan darah di atas jalan raya. -TVS