Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang. Foto: Bernama.

Kerajaan perkasa penghayatan Rukun Negara – Aaron

ByYusuf Shukri

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Kerajaan melalui Kementerian Perpaduan Negara melaksanakan beberapa inisiatif bagi memperkasakan lagi penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang ketika sesi penggulungan kementerian bagi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini memaklumkan kerajaan telah mengambil inisiatif menerapkan nilai-nilai perpaduan dan penghayatan Rukun Negara bermula dari awal usia kanak-kanak.

“Rukun Negara bukanlah sekadar prinsip yang hanya dilafazkan dengan ikrar semata-mata, tetapi ia menuntut kesungguhan setiap warganegara untuk menghayati dan mengamalkannya.

“Cita-cita dan prinsip dalam Rukun Negara jelas menjadi kunci kepada keharmonian dan perpaduan, bertujuan menyemai nilai murni dalam kalangan masyarakat, nilai keagamaan, kesetiaan kepada Raja dan negara, kepatuhan kepada Perlembagaan dan undang-undang serta masyarakat yang sopan dan bertatasusila.

“Kementerian Perpaduan Negara sejak penubuhannya pada 10 Mac 2020, sememangnya meletakkan Rukun Negara sebagai asas kepada penggubalan Dasar Perpaduan Negara dan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 bagi menggerakkan agenda perpaduan nasional,” katanya.

Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit itu berkata, antara strategi yang digariskan melalui Dasar Perpaduan Negara adalah meningkatkan literasi, pemahaman dan penghayatan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai semangat cintakan negara untuk mengekalkan keharmonian, keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Antara strategi yang digariskan melalui Dasar Perpaduan Negara adalah meningkatkan literasi, pemahaman dan penghayatan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai semangat cintakan negara untuk mengekalkan keharmonian, keamanan dan kesejahteraan rakyat.

“Di peringkat Tabika Perpaduan, Kementerian telah memperkenalkan Modul Pendidikan Rukun Negara untuk memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak tentang nilai-nilai murni bagi memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara.

“Di peringkat sekolah, Kelab Rukun Negara (KRN) dan di peringkat Institut Pengajian Tinggi, Sekretariat Rukun Negara (SRN) telah ditubuhkan yang mana sehingga kini terdapat 6,843 KRN dan 187 SRN di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, melalui Program KRN dan SRN, pelajar-pelajar boleh menghayati Rukun Negara, melibatkan diri secara aktif dalam program kenegaraan dan meningkatkan jaringan kerjasama dengan masyarakat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan