KUCHING, 23 Feb: Kuching Skills College dan Miri Technical College berpotensi menarik lebih ramai pelajar dari seluruh Malaysia untuk melanjutkan pengajian di Sarawak, kata Profesor Dato Dr Spencer Empading Sanggin.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata keyakinan terhadap potensi kolej-kolej kemahiran berkenaan kerana kepelbagaian kursus ditawarkan.
“Saya tahu para graduan dan ibu bapa sekalian kebanyakannya berasal dari Sarawak dan Sabah. Tetapi siapa tahu suatu hari nanti jika sekolah kemahiran teknikal ini menjadi begitu popular, mungkin pelajar dari Semenanjung Malaysia juga akan tertarik untuk menyertai kita di Kuching dan Miri.
“Saya yakin Kuching Skills College dan Miri Technical College mempunyai potensi untuk terus berkembang dengan mempelbagaikan lagi kursus-kursus yang dijalankan dalam usaha membantu para belia dari Sarawak dan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Pertama Kuching Skills College dan Miri Technical College yang dianjurkan secara bersama, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Datuk Peter Minos dan Ketua Pegawai Eksekutif Kuching Skills College dan Miri Technical College, Novert Sullang Douglas Sullang.
Beliau pada masa sama berkata kejayaan sesebuah kolej kemahiran bergantung dengan keupayaan melahirkan graduan berkualiti, berinovasi dan kreatif sekali gus menepati kehendak pihak industri.
Beliau menyeru setiap graduan agar mengatur strategi dengan bijak dan bersiap siaga menghadapi segala cabaran serta dugaan seterusnya menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara. – TVS