ASAJAYA, 22 Feb: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika bermain di tepi Sungai Sabang Kampung Tambirat di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa dikenali Mohamad Nudin Irfan Rahman.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya, PBT Mosli Salim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada jam 4.50 petang dengan menggerakkan lapan anggota menggunakan Navarra, sebuah jentera FRT dan sebuah bot penyelamat untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba pada jam 5.25 petang operasi SAR dimulakan dengan membuat pencarian di lokasi mangsa dipercayai terjatuh menggunakan kaedah ‘watersurface searching dan grapping iron’ pada radius 100 meter bersama penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, setakat ini kanak-kanak malang itu masih belum dijumpai. – TVS