Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Amar Douglas Uggah Embas (kiri) berjumpa dengan Datuk Seri Fadillah Yusof selepas menghadiri mesyuarat tertutup bersama Anthony Loke di Parlimen. Foto: Zaaba Zek

Uggah optimis proses ambil alih Pelabuhan Bintulu berjalan lancar

ByYusuf Shukri

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Sarawak optimis Pelabuhan Bintulu dapat diletakkan dan dikawal selia di bawah Kerajaan Negeri tidak lama lagi.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keyakinan itu susulan pertemuan dan perbincangan ringkas yang positif bersama Menteri Pengangkutan, Athony Loke hari ini.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika ditemubual selepas menghadiri mesyuarat tertutup bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Foto TVS.

“Saya baharu selesai bertemu dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan matlamat saya adalah untuk menyampaikan surat rasmi kepada beliau berkenaan permohonan Sarawak untuk menukar kawal selia pelabuhan tersebut dan diletakkan di bawah Kerajaan Negeri.

“Pertemuan tersebut berjalan lancar dan beliau (Anthony Loke) menerima baik cadangan yang diusulkan dan sekarang ini kedua-dua belah pihak akan mengorak langkah seterusnya.

“Ini merupakan permulaan bagi siri-siri perbincangan seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan bersama Anthony Loke di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Jelasnya, perbincangan lanjut itu nanti akan menjurus kepada perkara-perkara penting bagi memuktamadkan hasrat cadangan yang diusulkan tersebut.

“Siri perbincangan akan datang akan kenal pasti perkara-perkara penting yang akan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik bersesuaian dengan permohonan Sarawak.

“Sudah pasti kita berharap keputusan yang bakal dibuat itu nanti akan membolehkan Pelabuhan Bintulu menjadi milik Kerajaan Negeri.

“Perkara tersebut mungkin akan mengambil masa yang lama kerana perkara pengambilalihan ini bersifat kompleks dan ia sama seperti perbincangan-perbincangan lainnya seperti perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan saya dimaklumkan perbincangan tersebut berjalan lancar setakat ini.

“Hasilnya dapat dilihat baru-baru ini Perdana Menteri berada di Sarawak dan beliau bersetuju mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sebagai Jabatan Teknikal di Sarawak,” katanya.

Justeru, tambahnya, beliau optimis usaha yang sedang dicorak Sarawak ketika ini akan membuahkan hasil.

“Saya optimis dengan usaha ini, kalau kita tidak optimis maksudnya kita tidak berusaha bersungguh-sungguh.

“Tugas ini bukan tugas mudah dan ia cukup berat sekali namun saya yakin usaha tersebut akan membuahkan kejayaan berdasarkan hasil perbincangan sebentar tadi,” tambahnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan